Bintang AF jiwai teater
Oleh Norhayati
Nordinyati@hmetro.com.my
PERNAH dipentaskan 15 tahun lalu, kini sekali lagi teater purbawara Dendam Tanjung Puri (DTP) dibawakan untuk tatapan penonton. Namun, kisahnya masih sama apabila berkisar pada melunaskan dendam akibat kematian ibu bapa yang dibunuh.
Ia menceritakan konflik diri Sari lakonan Nur Salima Habibi yang berusaha menjejaki pembunuh bapanya, Indera serta ibu, Cempaka. Malah, lebih menyayat hati bila mana si ibu mati kerana membunuh diri selepas diperkosa lelaki bernama Jalak.Sekalipun, masih berguru dengan Pak Tua yang melatihnya bersilat tetapi hati Sari gundah memikirkan keselamatan ibu bapanya yang dirasakan dalam bahaya. Rentetan itu, Sari meninggalkan perguruannya dan pulang ke kampung mencari kebenaran.Sayangnya, dia terlewat apabila setibanya di kampung bapanya sudah meninggal dunia dan ibu pula nazak. Namun, Cempaka sempat menitip pesanan supaya Sari dan abangnya, Kelana membalas dendam atas kematiannya serta suami yang dikhianati.Rentetan itu, Sari bersama tiga rakannya iaitu Jejaka, Melur dan Teratai memulakan pencarian menjejaki pembunuh durjana berkenaan. Justeru, pelbagai dugaan perlu ditempuhi Sari termasuk permasalahan cinta dengan Jejaka yang turut disukai Melur.
Menonton kisah purbawara DTP arahan Azmi Zainon atau Amizai, 52, ini nyata menyeronokkan. Sekalipun mengetengahkan pelakon baru yang kebanyakannya bekas bintang Akademi Fantasia (AF) tetapi mesejnya berjaya disampaikan.Bahkan, ada kala penonton turut ketawa melihat aksi dan mendengar dialog dilontarkan pelakon. Oleh itu, pementasan DTP secara percuma dari 17, 18 dan 19 Disember lalu di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhasil.Amizai berkata pertama kali karyanya itu dipentaskan pada 1991. Malah, watak Jalak yang sekarang dilakonkan Sahimi MS pula pernah dibawa pelakon Mubarak Majid. Hinggakan, Mubarak layak menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik."
Atas kejayaan itu dan keyakinan diri, saya berpendapat adalah wajar mementaskan DTP dalam nafas dan semangat baru. Sebab itu, saya berani ambil risiko ketengahkan bakat bintang AF. Ini kerana saya dapati mereka ada bakat dan pendedahan teater."Ketika di AF, mereka sudah dilatih mengenai seni persembahan. Jadi, inilah masanya peluang itu diberikan supaya bakat muda itu dapat mengembangkan prestasi lakonan mereka. Dalam masa sama, saya juga tidak memikirkan soal populariti.
"Sehubungan itu, saya sekadar cuba memberi mereka platform untuk mengenali teater lebih dekat. Bahkan, saya juga lihat bintang AF dipilih ini memberi kerjasama baik dan tidak menghampakan. Mereka didapati benar-benar mahukan pengalaman," katanya.
Menurut Amizai, seperti Salima dan Edlin yang menjadi teraju utama DTP sememangnya sudah ada asas berlakon teater. Mereka sebelum ini pernah membintangi teater bangsawan Rangkas Putera, tahun lalu. Jadi, mudah untuk mereka diarah.Menyentuh mengenai 'keuntungan', Amizai yang sudah 20 tahun bergiat aktif dalam pengarahan teater berkata dia tidak pernah memikirkan soal untung. Katanya apa yang penting penonton datang menyaksikan DTP dan membuat penilaian."Ditambah lagi, berpegang pada syarat yang pementasan ini diadakan secara percuma, saya sudah cukup bersyukur dan gembira. Saya mengharapkan penonton dapat mesej yang hendak disampaikan menerusi pementasan DTP.
"Selain itu, saya juga melihat perkembangan teater di negara ini bertambah baik. Sama ada teater muzikal, bangsawan atau purbawara. Namun, sekarang ini sememangnya pementasan teater berkaitan purbawara perlu diperluaskan," katanya.Antara pelakon yang membintangi DTP yang dipentaskan selama tiga hari bermula jam 8.30 malam itu ialah Hazama (AF4) sebagai Kelana, Alif AF6 (Jejaka), Maliyana AF6 (Melati), Ika Nabila AF6 (Kiambang) dan Wan Syamsul Fadli (Pak Lanang).Bagi Salima pula, pembabitannya dalam teater DTP kerana mahu kembangkan bakat seni lakon dimilikinya. Ditambah, cabaran berlakon teater bukan mudah kerana dipentaskan secara langsung. Apapun, dia akui seronok membintangi DTP.
Ditanya apakah ia disebabkan adegan Alif memegang tangannya, Salima berkata dia tiada niat mahu menimbulkan kontroversi baru selepas isu rambut palsu dalam teater Rangkas Putera. Namun, semua itu terjadi secara kebetulan."Sepanjang latihan bersama Alif, dia tidak pernah memegang tangan saya. Tetapi, tidak tahu kenapa pada malam pementasan DTP dia berbuat begitu. Barangkali, mungkin terlalu menjiwai wataknya dan kami berdua pun berkasih dalam DTP."Oleh itu, saya tidak mengharapkan 'kebetulan' itu menjadi bualan hangat. Sebagai seorang pelakon dan masih baru, saya berusaha merealisasikan watak dibawa sebaik mungkin. Saya harap lakonan saya dalam DTP ini diterima baik penonton," katanya.
Sementara itu, Alif atau nama sebenarnya Mohamad Alif Mohd Razali berkata dia tiada niat untuk mengambil kesempatan ke atas Salima. Menurut pemuda berusia 22 tahun ini, ia sekadar menjiwai watak kerana DTP teater pertama lakonannya."Tidak dinafikan, saya sangat teruja meraih peluang membintangi teater arahan Amizai ini. Lebih-lebih lagi, baru kali pertama diberi kepercayaan memainkan watak utama. Malah, saya juga berlakon di samping rakan seangkatan yang pernah menyertai AF," katanya.Alif berkata biarpun bakat seninya dicungkil untuk nyanyian, tetapi nampaknya peluang dalam lakonan yang diterima dulu. Justeru, katanya enggan memilih menyebabkan dia menerima apa saja yang datang lebih dulu demi mendapatkan pengalaman.